Bicara Dunia Kucing

10 Perkara yang Tidak Disukai Oleh Kucing

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga MeowQu Cat Boarding. Hari ini kami ingin berkongsikan beberapa perkara yang tidak disukai oleh kucing. Secara amnya, kucing merupakan makhluk yang mampu hidup secara berdikari dan mempunyai cara yang tersendiri untuk menghadapi situasi yang bahaya. Di sebalik kebolehan tersebut, ia juga makhluk yang penyayang dan mengambil berat tentang manusia yang menjaganya walaupun ada kalanya ia tidak menunjukkan sebarang reaksi yang ketara. Sebagai tuan kucing, kita tentu gembira apabila melihat kucing kita aktif dan ceria selalu kerana ia adalah teman istimewa kita.

Walau bagaimanapun, sesetengah kucing tidak menunjukkan sebarang reaksi atau perbuatan yang ketara untuk menyampaikan perasaan ketidakpuashatian mereka terhadap kita. Oleh itu, anda harus peka terhadap perubahan yang berlaku pada kucing anda kerana mereka akan menyampaikannya secara langsung atau secara tidak langsung. Tanpa melengahkan lagi waktu, 10 perkara yang tidak disukai oleh kucing adalah seperti berikut :-

1. Bersendirian

Seperti manusia, kucing juga mempunyai mood untuk bersendirian kerana ingin berasa tenang. Walau bagaimanapun, kucing juga tidak boleh dibiarkan bersendirian kerana ia akan mula berasa keboringan dan mampu menghidapi kemurungan jika dilakukan secara berterusan. Anda boleh mencuri perhatiannya sekali-sekala dengan bermain atau bercakap dengannya. Kucing juga boleh menjadi pendengar setia meskipun ia tidak mampu memberi apa-apa respon terhadap masalah anda hidapi.

Antara reaksi mereka untuk mencuri perhatian anda adalah dengan memanggil “meow,meow” beberapa kali sehingga anda perasan kehadirannya atau ia akan datang secara sendirinya ke kaki anda untuk meminta belaian kasih anda. Pada ketika ini anda harus berikan sokongan atau belaian yang terbaik kerana ia dahagakan kasih sayang dan perhatian anda. Namun begitu, jika dilakukan secara berlebihan ia mampu memberi kesan negatif terhadap kucing anda. Oleh demikian itu, lakukan secara sederhana dan pastikan peka jika ia menginginkan perhatian pada anda.

2. Litter Box atau Tandas Busuk

Kucing merupakan makhluk yang mementingkan kebersihan dirinya dan menginginkan kawasan sekelilingnya juga kekal bersih sebagaimana dirinya. Oleh itu, persekitaran yang kurang bersih juga merupakan antara perkara yang tidak disukai oleh kucing. Pada pemerhatian kami, kucing kami tidak akan mendekati litter box sebaik sahaja terhadap 3-4 ketul najis di dalamnya. Hal ini demikian kerana ia risau apabila ia ingin menimbuskan najis seterusnya pasti akan menarik pasir yang telah digunakan pada najis sebelumnya. 

Disebabkan kucing mengutamakan kebersihan terhadap dirinya dan kawasan sekelilingnya, ia akan menahan dirinya untuk membuang najis tersebut hinggalah litter box itu telah dibersihkan. Walau bagaimanapun, jika keadaan telah memaksa ia untuk mengeluarkan juga maka ia akan lakukan namun padahnya pada kita yang ingin membersihkannya kemudian waktu. 

Oleh itu, kami galakkan anda untuk melakukan pembersihan sebanyak 2 kali sehari! atau lakukan pembersihan litter box dalam tempoh 24 jam. Jangan biarkan litter box kucing anda dipenuhi najis kerana ia juga menarik perhatian pelbagai jenis bakteria yang tidak baik untuk manusia dan haiwan peliharaan anda.

3. Hidu aroma yang kuat

Kucing mempunyai deria hidu yang lebih kuat daripada manusia oleh itu kucing tidak suka akan aroma yang kuat seperti minyak wangi, sabun beraroma dan bahan pencuci. Kucing amat sensitif sekali terhadap barangan dinyatakan kerana kebolehan menghidu mereka adalah jauh berbeza sekali daripada manusia.

Pastikan kucing anda tidak berada di sekitar kawasan berhampiran ketika anda menggunakan semburan wangian. Selain itu, mereka juga sensitif terhadap beberapa jenis pokok bunga seperti Lavender dan Lemon Thyme! Kalau anda ada rumput atau pokok catnip, pasti mereka akan tergila-gilakannya!

4. Persekitaran yang Bising

Kucing lebih suka akan persekitaran yang sunyi sepi kerana ia boleh berehat dan bermain secara aman. Bunyi yang bising mampu mengganggu ketenteraman hidup mereka dan mampu menunjukkan beberapa reaksi yang berbeza(negatif) seperti ketakutan, bersembunyi di kawasan yang sempit atau jauh dan mula kelihatan garang. 

Jika anda ingin lakukan pembersihan bilik kucing anda menggunakan vacuum, kami sarankan anda untuk memindahkan kucing-kucing anda ke tempat lain sementara proses pembersihan dilakukan agar kucing-kucing anda tidak panik apabila vacuum dipasangkan. Ia adalah reaksi normal namun begitu, elakkan daripada melakukan secara konsisten kerana ia mampu menghilangkan deria pendengaran tajam mereka!

5. Dalam keadaan basah-kuyup

Seringkali kita dapat lihat bahawa kucing amat benci sekali apabila ia dalam keadaan basah-kuyup kerana ia tidak mahu bulunya dalam keadaan lembap. Meskipun kucing pentingkan kebersihan dirinya, sesetengah kucing amat benci sekali apabila kita cuba mandikan dan bertindak ganas atau luar kawalan jika tidak diberikan penenang. 

Oleh itu, kami sarankan anda sediakan sangkar yang dikhaskan untuk tujuan mandian agar anda boleh mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan berlaku insiden-insiden yang tidak diingini seperti dicakar dan digigit. Kami galakkan anda untuk gunakan air suam ketika memandikan kucing dan bukannya menggunakan air sejuk! Lakukan secara perlahan-lahan dan pastikan kucing anda berasa selesa ketika dimandikan.

6. Bersiar-siar menggunakan kereta / motor

Sesetengah kucing tidak selesa atau tidak mudah untuk menyesuaikan diri pada persekitaran baru. Oleh demkian itu, sesetengah kucing tidak selesa apabila anda membawanya bersiar-siar menggunakan kereta dan pastinya akan ada jeritan “MEOW!” paling kuat sekali akan anda dengar. Bukan sahaja persekitaran yang menjadi punca ia gelisah malah ia juga turut gelisah untuk menyesuaikan diri pada objek yang sedang bergerak.

Jika kucing anda tergolong dalam kategori seperti ini, kami sarankan anda untuk perlahan-lahan melatih ia untuk menyesuaikan diri pada persekitaran asing. Jangan lakukan secara desakan kerana ia tidak akan menghasilkan apa-apa yang positif daripada perbuatan itu.

10 Perkara yang tidak disukai kucing | cat in carrier
7. Belaian Kasih di tempat yang Salah!

Pastinya anda suka memberikan belaian kasih pada kucing anda pada bila-bila masa saja, bukan? Namun terdapat beberapa bahagian yang anda tidak boleh pegang atau belai iaitu bahagian ekor, perut, kaki dan lain-lain. Kucing amat menyukai apabila anda membelai di kawasan pangkal ekornya atau mengurut di sekitar lehernya bagi mengurangkan stress pada badannya. Oh! Sebelum terlupa, jangan lakukan secara berlebihan kerana kucing juga benci jika anda membelainya secara berlebihan.

Setelah 3-4 kali anda belaikan ia, biarkan ia berjalan-jalan dan datang sendiri kepada anda. Dengan cara ini, kucing anda akan lebih berasa selesa terhadap anda secara perlahan-lahan. Anda harus bersabar dan pastikan anda sediakan snek untuk meningkatkan mood kucing anda.

8. Menyikat bulu dan memotong kuku

Sesetengah kucing berasa selesa ketika bulu-bulunya disikat kerana ia dapat rasakan belaian tuannya secara tidak langsung! Namun begitu, kucing juga cenderung untuk membencinya apabila terdapat objek asing yang cuba mengganggu keadaan badannya terutama sekali apabila memotong kuku! Reaksi normal adalah kucing anda pastinya mencuba melepaskan dirinya secepat mungkin daripada situasi tersebut kerana benci akan kukunya dipotong oleh objek tajam. 

Kami sarankan anda untuk memakai sarung tangan yang tebal bagi mengurangkan peratus anda terkena cakaran atau gigitan daripada kucing anda. Bukan mudah untuk anda latih ia membiasakan diri dengan objek asing namun jika anda sabar dan lakukan secara konsisten, pasti membuahkan hasil yang positif!

9. Makanan dihidangkan adalah kurang menyelerakan

Seperti manusia, kucing juga suka memilih makanan. Apabila makanan yang dihidangkan adalah tidak menepati citarasa mereka, ia akan menunjukkan eksperesi seperti merajuk. Kami telah memberikan pelbagai jenis makanan kucing sama ada dalam bentuk basah dan kering daripada pelbagai jenis jenama terkemuka seperti Royal Cannin, Equilibrio, Button & Bows, Black Woods dan lain-lain. Namun ia merupakan proses yang cukup lama untuk melihat sama ada makanan yang diberikan adalah bersesuaian dengan diet harian dan citarasa mereka. Oleh itu, kami sarankan anda untuk mencuba re-pack 1KG untuk jenama makanan kering (kibbles) dan lihat reaksi mereka. Lihat bentuk, warna dan bau najis mereka kerana makanan mampu mempengaruhi faktor dalaman badan kucing anda. Jika anda dapati najis kucing anda cair dan terdapat kibbles yang tidak hancur dihadam, makanan itu adalah sama sekali tidak bersesuaian dengan kucing anda.

10. Kawasannya diceroboh oleh kucing lain

Perkara terakhir yang tidak disukai oleh kucing anda kawasannya dicerobohi oleh kucing lain. Kucing lebih sukakan kawasannya itu adalah hak dia dan hanya untuk dia seorang sahaja! Namun begitu, keadaan seperti itu hanya ideal pada rumah yang mempunyai seekor kucing. Oleh itu, anda harus pantau kucing-kucing anda yang lain sebelum terlambat! 

Pastinya anda tidak mahu akan insiden-insiden yang tidak disenangi berlaku dalam kalangan kucing anda. Berikan masa dan luangkan masa bersama-sama kucing yang lain untuk meningkatkan tahap keharmonian antara satu sama lain. Jangan terburu-buru kerana proses ini amat penting untuk masa akan datang.

Kesimpulannya, luangkan masa anda untuk kenali kucing anda lebih dekat dan belailah ia saat diinginkan perhatian daripada anda. Jika anda mengalami luka hasil daripada cakaran kucing, kami sarankan anda untuk gunakan Krim Herba MeowQu bagi tujuan menyembuhkan luka tersebut dan jangkitan bakteria-bakteria berbahaya.

Don't forget to share it!
Ruangan Komen
error: